Saturday, July 26, 2008

Hidangan popular di Kafe Serena, Brasserie

Stik daging kasuari dan ketam biru

SESEKALI bertukar selera dengan menikmati hidangan di restoran hotel ternama, sudah pasti mencetuskan perasaan teruja. Bagaimana rupa hidangan, rasa, serta persembahannya kepada pengunjung antara perkara yang acap kali hadir dalam fikiran sebelum memutuskan ke lokasi mana untuk memenuhi selera.

Menepati persoalan yang bermain dalam fikiran anda, Kafe Serena Brasserie, Hotel Nikko Kuala Lumpur menawarkan bufet istimewa setiap Isnin, Jumaat, Sabtu dan Ahad yang pasti membuatkan anda ingin mencubanya. Lokasi hotel yang terletak di di tengah ibu kota tentu memudahkan anda berkunjung ke situ.

Selain hidangan pelbagai dan menyelerakan, cara persembahan hidangan juga sudah pasti mengundang selera untuk menikmatinya. Itulah juga kelebihan menikmati makan di hotel selain dapat menikmati sajian enak, pengunjung juga dapat melihat sendiri kreativiti cara sajian diketengahkan,

Keistimewaan hidangan itu mendapat sentuhan daripada dua chef berpengalaman iaitu Low Chee Ee dan Fong Teck Fei, pengunjung boleh menikmati pelbagai masakan istimewa tempatan dan antarabangsa yang dipersembahkan dengan cukup menyelerakan seperti hidang dan konsep gerai.

Bagi yang mempunyai selera pelbagai, kafe Serena Brasserie ada menyediakan bufet makan tengahari Cost Buster pada setiap Jumaat. Bufet istimewa berkenaan menghidangkan lebih 50 menu tempatan, Asia dan Barat pada harga istimewa. Antara hidangan yang disediakan ialah ayam panggang Kelantan, nasi ayam, mi kari, sushi, udang harimau masak cili dan paf pastri daging kambing. Dengan pelbagai sajian yang menyelerakan di depan mata, pengunjung mungkin rambang mata memilih makanan yang ingin dicuba.

Kalau hendak nikmati hidangan barbeku, Sabtu ialah hari untuk bufet makan malam Sizzling BBQ. Pelbagai hidangan panggang seperti salmon, paha ayam, daging kambing dan udang kara menanti untuk dicuba oleh pengunjung, di samping lebih 20 juadah pembuka selera dan sup. Jika di rumah, mungkin agak melecehkan menyediakan hidangan panggang lebih-lebih lagi jika setiap ahli keluarga mempunyai cita rasa daging atau ikan panggang berbeza.

Hari minggu pula, bawalah seisi keluarga untuk menikmati bufet makan malam stimbot dan makanan laut. Pilihlah antara pelbagai hidangan seperti ikan, ayam, cendawan, mi dan kubis Cina untuk dimasak bersama sup pilihan anda. Kemudian, jangan lupa untuk mencuba makanan laut segar seperti udang harimau, ketam biru dan ikan bakar.

Perlukan sesuatu untuk menceriakan Isnin anda? Apa kata nikmati stik dan pasta di Kafe Serena. Pelbagai pilihan pasta seperti spageti, fussili dan ravioli untuk dinikmati dengan sos kegemaran anda. Hidangan seumpama itu sudah pasti untuk dinikmati oleh anda yang inginkan luar daripada cita rasa tempatan. Kalau itu tidak mencukupi, cubalah hidangan stik popular seperti daging burung kasuari, T-Bone dan daging lembu.

Promosi bufet bertema Hotel Nikko berlangsung dari 6 Jun hingga 31 Ogos 2008. Bufet makan tengahari Cost Buster berharga RM43++ seorang, manakala semua bufet makan malam berharga RM90++ seorang, separuh harga bagi kanak-kanak enam hingga 12 tahun. Bufet makan malam ditawarkan dari jam 7 malam hingga 10.30 malam.

INFO:

  • Lokasi: Hotel Nikko, Kuala Lumpur.
  • Waktu operasi: 7 petang hingga 10 malam.
  • Harga: RM 43++
Pilihan menu:
  • Jumaat - Bufet Cost Buster (hidangan Asia dan Barat)
  • Sabtu - Bufet makan malam sizzling BBQ.
  • Ahad - Bufet stimbot dan makanan laut.
  • Isnin - Stik dan pasta

No comments: