Sunday, September 14, 2008

30 pilihan kerabu

MENU bufet yang merangkumi lebih 100 jenis hidangan ini turut mengandungi ulam-ulaman yang dicicah dengan sambal belacan atau tempoyak serta lauk-pauk tradisional melayu.Menjelang bulan puasa ini, warga kota pasti tercari-cari lokasi gastronomi ideal untuk berbuka puasa bersama keluarga atau insan tercinta. Hotel Kuala Lumpur International tidak menghampakan kerana menawarkan hidangan enak untuk pengunjung.

Promosi berbuka puasa sempena Ramadan ini mengutarakan sajian tradisional dengan memperagakan variasi resipi tradisional yang penuh nostalgia kampung halaman.

Bagi mereka yang merindui masakan ibu, lauk-pauk seperti daging bakar salai dicicah dengan air asam, ayam percik, gulai daging rebung, masak lemak siput sedut dan ikan tilapia sambal Acheh mampu meredakan kerinduan terhadap masakan ibu sepanjang bulan mulia ini.

Daging bakar salai dan ayam kampung kurma Johor merupakan antara lauk istimewa di bufet ini. Daging bakar salai dikenali sebagai masakan kegemaran masyarakat pantai timur dan keistimewaannya terletak pada kaedah membakar daging yang dipotong kecil.

Masakan ayam kampung kurma Johor pula nyata membuka selera apabila adunan sajian ini lebih mementingkan penggunaan jintan putih dan serbuk kurma yang asli. Bufet Ramadan yang disajikan di Kafe Toppot, tingkat 4 di hotel tersebut juga menghidangkan berbagai jenis kerabu. Seperti acar, kerabu juga antara juadah pembuka selera.

"Apabila bercerita tentang kerabu, memang kecur air liur dibuatnya kerana ia memang memecahkan selera sesiapa saja terutama mereka yang sukakan sajian pedas dan masam-masam manis.

Demikian kata Chef Kasim Man, 46, yang turut mengetuai penyediaan sajian bufet Ramadan di hotel ini. "Kebanyakan ulam-ulaman boleh digaul terus dengan bahan asas kerabu, contohnya, kacang panjang, kacang botol, ulam raja dan daun selom. "Namun, pucuk paku, jantung pisang, pucuk ubi, bunga betik, daun mengkudu dan sebagainya mesti dicelur," katanya pada majlis prebiu bufet Ramadan di hotel berkenaan baru-baru ini.

Menurut Kasim, kira-kira 30 jenis kerabu antaranya kerabu daging, kaki ayam, mangga, jantung pisang, pucuk paku dan lain-lain dihidangkan untuk memberi kelainan pada promosi hebat ini.

"Menu bufet yang merangkumi lebih 100 jenis pembuka selera tradisional ini turut mengandungi pembuka selera lain iaitu tapai ubi dan pulut, popia basah, tauhu sumbat, otak-otak, aneka sajian mi Melayu seperti asam laksa, mi rebus, mi kari, mi bandung dan laksa Johor.

"Beberapa pilihan bubur dan sup panas boleh didapati termasuk bubur lambuk, sup tom yam ayam, sup ekor, sup tulang rawan dan sup tom yam makanan laut," ujarnya.

Selain itu, pengunjung juga dapat menikmati pengat pisang, sago gula Melaka dan bubur jagung.

"Minuman yang disediakan termasuklah air batu campur, cendol, sirap bandung, cincau dan semestinya teh tarik yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia.

"Bukan itu sahaja, hotel ini juga menyediakan bufet sahur manakala kemudahan surau dan kaunter khas untuk bayaran Zakat turut ditawarkan sempena Ramadan," katanya lagi.

No comments: