
MUNGKINKAH ada dalam kalangan kita di negara ini yang tidak suka makan roti canai. Kepada seorang kenalan, saya bertanyakan soalan itu. Jawapan yang diperoleh sememangnya tipikal iaitu: “Rasanya, tak ada orang yang tak suka makan roti canai.”
Malah, sajian yang menjadi pilihan sarapan pagi ini seakan sudah termaktub dalam kamus selera masyarakat Malaysia.
Sebagai sajian utama mahupun sekadar penggalas perut, ‘roti terbang’ gelaran yang diberi kepada roti canai ini, boleh didapati di mana-mana dan pada sebarang masa.
Murah, mudah tetapi mengenyangkan. Sekeping roti canai sedap dihidangkan dengan kuah kari ayam, ikan ataupun dhal.
Menggunakan tepung, minyak dan gula sebagai ramuan utamanya selain telur, mentega, air dan garam secukup rasa, proses pembuatan roti kegemaran ramai ini mungkin kelihatan tidak terlalu sukar.
Seorang pembuat roti canai yang ditemui KOSMO!, Ajmeer Khan, 20, berkata, proses adunan bahan mentah daripada sukatan yang betul adalah langkah utama untuk mendapatkan roti canai berkualiti.
Menurut Ajmeer yang merupakan salah seorang daripada tujuh pembuat roti canai di sebuah restoran mamak, Restoran Hakim Sdn. Bhd., adunan bahan-bahan mentah akan dibuat dalam bekas yang betul-betul bersih.
Kebersihan menjadi keutamaan kerana sedikit kesilapan kecil sahaja mampu merosakkan kualiti dan rasa roti canai.
Sambil tangannya ligat melambung dan menebar roti canai, Ajmeer memberitahu: “Kebiasaannya, adunan roti canai dibuat seawal pukul lima pagi. Pada waktu kemuncak, ada ketikanya, adunan akan dibuat dua kali sehari.”
Adunan yang dibuat sendiri, katanya menjanjikan roti canai yang lebih enak berbanding adunan sedia ada yang dijual di pasaran.
Bagi menghasilkan kira-kira 500 keping roti canai, berapa banyakkah bahan yang diperlukan? Ini jawapannya: “Lima sukatan air, seguni tepung gandum, dua tin susu pekat, enam biji telur, suku kilogram (kg) gula dan garam secukup rasa. Sebanyak 17kg minyak masak diperlukan untuk menggoreng roti di atas kuali leper.”
Mula mempelajari teknik pembuatan roti canai daripada ayahnya di India Selatan sejak di bangku sekolah, Ajmeer mendedahkan, susu dicampur bagi mengilatkan roti, gula untuk menggaringkan tekstur sajian ini dan garam yang ditambah akan mengelakkan roti terkoyak apabila ditebar.
Menurutnya, adunan yang siap akan dibiarkan ‘berehat’ seketika selama 15 minit. Selepas itu, mentega akan disapu pada bekas dan doh yang dibentuk untuk mencegah doh daripada saling melekat.
“Kemudian, kena tunggu sekurang-kurangnya tiga jam sebelum doh sedia ditebar. Ini kerana tempoh masa itu akan melembutkan doh sekali gus melancarkan proses menebar. Ketika menebar, elakkan daripada menebar doh terlalu lama,” katanya.
Tambahnya, minyak kemudiannya diletakkan di atas permukaan meja bagi melicinkan proses tebaran roti canai.
“Selepas itu, ‘rehatkan’ hasil tebaran selama dua hingga tiga minit untuk roti canai bulat sebelum dimasak. Roti berbentuk segi empat pula boleh dimasak terus. Memang itu tip untuk mendapatkan roti canai yang enak, selain menepuk ketika roti sudah siap. Tepukan akan melembutkan tekstur roti,” terangnya.
Sementara itu, pemilik restoran tersebut, Hakimsa Abdul Karim berkata, populariti roti canai tidak akan hilang sampai bila-bila.
![]() |
| HAKIMSA ABDUL KARIM |
Ini jelas dilihat dengan mata penulis dan jurugambar sendiri apabila pembuat roti canai tidak henti menebarkan adunan yang telah diuli.
Cuma, dalam kemelut kekurangan bekalan minyak dan tepung yang pernah menggemparkan kita baru-baru ini, Hakimsa mengaku, ia sedikit sebanyak memberi impak kepada perniagaan roti canainya.
“Namun, setiap hari, jualan roti canai laris sehingga 1,000 keping. Pada hari kemuncak, kami terpaksa menambah stok (roti canai) ekoran permintaan ramai.
“Apabila krisis kekurangan bekalan bahan mentah seperti minyak dan tepung berlaku, ia menyukarkan kami untuk berniaga,” ceritanya ketika ditemui KOSMO! di restorannya di Shah Alam, Selangor.
Hakimsa memberitahu, kemahiran seseorang pembuat roti canai amat penting kerana ini akan menentukan konsistensi kualiti roti canai yang dihasilkan.
“Roti canai yang ideal adalah empuk di dalam tetapi garing dan berkelupas di luar,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Hakimsa berpendapat, roti canai yang merupakan makanan tradisional ini biasanya mendapat tempat di hati penggemar-penggemarnya yang terdiri daripada semua lapisan masyarakat.
Bagi Hakimsa, roti canai adalah makanan universal. Sebabnya, ‘kemurahan’ roti canai yang boleh dinikmati oleh sesiapa sahaja sekali gus menyamakan kedudukan orang berlainan latar belakang.
“Roti canai hanya berharga 80 sen sekeping. Sesiapa sahaja berpeluang menikmatinya. Tak payah bayar mahal, sekeping sudah cukup mengenyangkan,” jelasnya sambil memberitahu restorannya menawarkan 29 jenis roti canai beraneka rasa.
Murah dan mudah didapati
APABILA teringat roti canai yang dicicah dengan kuah kari mahupun dhal, tentu tidak sabar untuk menikmati sajian itu.
![]() |
| |
Dalam segenap lapisan masyarakat kita, roti canai adalah sarapan terpantas yang cukup mengenyangkan. Bagi penggemar sajian ini pula, selain menjadi medium mengeratkan jurang perbezaan sesama dua insan, ia turut membekalkan tenaga mencukupi untuk kerja seharian.
Seorang penggemar roti canai yang ditemui KOSMO!, Afuad Izlani Nordin, 23, berkata, setiap hari, dia akan menikmati roti canai sebanyak dua kali.
Menurutnya, bekalan tenaga yang diperoleh daripada roti canai menyamai sepinggan nasi dan boleh didapati pada harga yang lebih menjimatkan.
“Makan roti canai sudah menjadi satu perkara biasa bagi saya yang menikmatinya hampir setiap hari,” katanya sambil memasukkan secebis roti canai ke dalam mulut.
Turut sependapat dengan Afuad adalah Mohd. Azreev Azvee, 24, yang pernah mengunjungi restoran mamak empat kali dalam seminggu semata-mata untuk menikmati roti canai.
“Suatu ketika dahulu, saya pernah obses dengan roti canai. Kurang daripada RM2 sahaja, saya sudah boleh menikmati dua keping roti canai yang menyelerakan,” katanya.
Tidak keterlaluan katanya, roti canai juga menyamai ‘kawan baik’ pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi kerana harganya yang murah dan mudah didapati.
Pelajar tahun dua jurusan Pengurusan Pembinaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Hafiz Hanifa, 22, pula, menyukai keempukan roti canai.
Gemar menikmati roti canai sebagai sarapan pagi, Hafiz yakin roti canai tidak akan lenyap di dunia.
“Semua orang menggemarinya, lebih-lebih lagi pelajar seperti saya kerana boleh jimatkan bajet,” katanya tersenyum simpul.
Roti canai tinggi kalori
KETUA Pakar Diet dari Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur, Farah Diba Khan yang dihubungi KOSMO! berkata, pengambilan roti canai secara berlebihan akan meningkatkan tahap trigliserid dan berat badan dalam jangka masa panjang.

Menurutnya, roti canai bukanlah satu-satunya makanan yang diambil dalam sehari dan trigliserid merupakan sejenis lemak yang disimpan di dalam badan.
“Sekeping roti canai menyumbangkan kira-kira 301 kilo kalori kerana kandungan lemak dan karbohidratnya tinggi. Jadi, mengambil roti canai setiap hari adalah tidak digalakkan,” katanya.
Bayangkan berapa banyak kilo kalori yang dikumpul sehari jika didarabkan dengan jumlah roti canai yang diambil itu!
Menurutnya lagi, pengambilan roti canai sebenarnya bukan satu keperluan dalam diet harian masyarakat Malaysia. Ini kerana katanya, terdapat pelbagai makanan berkarbohidrat lain yang lebih baik dan berkhasiat berbanding roti canai.
Justeru, Farah Diba menyarankan roti canai dinikmati sekali sekala atau sebulan sekali tetapi bukan untuk menggantikan makanan ruji kita, nasi.
“Nasi masih merupakan makanan ruji kita. Nasi kosong mengandungi kalori dan kandungan lemak yang lebih rendah. Jadi, berilah ruang kepada tubuh untuk menikmati makanan lain yang lebih berkhasiat,”ujarnya.
Katanya, melainkan kita boleh menghasilkan roti canai tanpa lemak dan minyak serta menggunakan tepung tinggi serat, adalah tidak digalakkan untuk menggantikan nasi dengan roti canai.
“Namun, sesetengah jenis nasi juga mengandungi karbohidrat yang tinggi dan adalah baik, nasi juga diambil secara sederhana,” pesannya berkali-kali.



No comments:
Post a Comment