Sunday, September 14, 2008

30 pilihan kerabu

MENU bufet yang merangkumi lebih 100 jenis hidangan ini turut mengandungi ulam-ulaman yang dicicah dengan sambal belacan atau tempoyak serta lauk-pauk tradisional melayu.Menjelang bulan puasa ini, warga kota pasti tercari-cari lokasi gastronomi ideal untuk berbuka puasa bersama keluarga atau insan tercinta. Hotel Kuala Lumpur International tidak menghampakan kerana menawarkan hidangan enak untuk pengunjung.

Promosi berbuka puasa sempena Ramadan ini mengutarakan sajian tradisional dengan memperagakan variasi resipi tradisional yang penuh nostalgia kampung halaman.

Bagi mereka yang merindui masakan ibu, lauk-pauk seperti daging bakar salai dicicah dengan air asam, ayam percik, gulai daging rebung, masak lemak siput sedut dan ikan tilapia sambal Acheh mampu meredakan kerinduan terhadap masakan ibu sepanjang bulan mulia ini.

Daging bakar salai dan ayam kampung kurma Johor merupakan antara lauk istimewa di bufet ini. Daging bakar salai dikenali sebagai masakan kegemaran masyarakat pantai timur dan keistimewaannya terletak pada kaedah membakar daging yang dipotong kecil.

Masakan ayam kampung kurma Johor pula nyata membuka selera apabila adunan sajian ini lebih mementingkan penggunaan jintan putih dan serbuk kurma yang asli. Bufet Ramadan yang disajikan di Kafe Toppot, tingkat 4 di hotel tersebut juga menghidangkan berbagai jenis kerabu. Seperti acar, kerabu juga antara juadah pembuka selera.

"Apabila bercerita tentang kerabu, memang kecur air liur dibuatnya kerana ia memang memecahkan selera sesiapa saja terutama mereka yang sukakan sajian pedas dan masam-masam manis.

Demikian kata Chef Kasim Man, 46, yang turut mengetuai penyediaan sajian bufet Ramadan di hotel ini. "Kebanyakan ulam-ulaman boleh digaul terus dengan bahan asas kerabu, contohnya, kacang panjang, kacang botol, ulam raja dan daun selom. "Namun, pucuk paku, jantung pisang, pucuk ubi, bunga betik, daun mengkudu dan sebagainya mesti dicelur," katanya pada majlis prebiu bufet Ramadan di hotel berkenaan baru-baru ini.

Menurut Kasim, kira-kira 30 jenis kerabu antaranya kerabu daging, kaki ayam, mangga, jantung pisang, pucuk paku dan lain-lain dihidangkan untuk memberi kelainan pada promosi hebat ini.

"Menu bufet yang merangkumi lebih 100 jenis pembuka selera tradisional ini turut mengandungi pembuka selera lain iaitu tapai ubi dan pulut, popia basah, tauhu sumbat, otak-otak, aneka sajian mi Melayu seperti asam laksa, mi rebus, mi kari, mi bandung dan laksa Johor.

"Beberapa pilihan bubur dan sup panas boleh didapati termasuk bubur lambuk, sup tom yam ayam, sup ekor, sup tulang rawan dan sup tom yam makanan laut," ujarnya.

Selain itu, pengunjung juga dapat menikmati pengat pisang, sago gula Melaka dan bubur jagung.

"Minuman yang disediakan termasuklah air batu campur, cendol, sirap bandung, cincau dan semestinya teh tarik yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia.

"Bukan itu sahaja, hotel ini juga menyediakan bufet sahur manakala kemudahan surau dan kaunter khas untuk bayaran Zakat turut ditawarkan sempena Ramadan," katanya lagi.

Saturday, September 13, 2008

Segalanya segar

Tanjung Api dekat Kuantan bukan sekadar perkampungan nelayan


"JIKA tidak keberatan, bawalah pulang hasil tangkapan nelayan sebagai buah tangan."


JIKA bertandang ke Kuantan, tidak lengkap rasanya jika terlepas daripada menikmati angin nyaman dan pemandangan indah di Tanjung Api.

Lokasinya hanya tiga kilometer dari bandar Kuantan. Susur Jalan Teluk Sisek menghala Teluk Chempedak, perhatikan papan tanda di sebelah kanan jalan dan pasti tidak sesat untuk sampai ke sini.

Bukan sahaja untuk berekreasi, menu hasil laut segar juga banyak dijual di gerai-gerai di sekitar Pasar Tanjung Api. Sebut sahaja jenis ikan, udang atau ketam yang ingin dimakan, 100 peratus tidak menghampakan.

Kecur air liur bila mengenang udang lipan karang, udang galah, ketam batu sepit merah, ibu tenggiri, terubuk dan sotong bunga besar yang dipanggang.

Paling istimewa, menu ikan panggang yang disalut tempoyak dan ketam bakar yang direndam terlebih dahulu dengan sos masam manis.


"TANJUNG API terkenal dengan ikan bakar dan sos istimewanya."


Cicah pula dengan sos kicap khas yang begitu popular di sini, terlalu lazat untuk diketepikan.

Rasa segar dan manis aslinya yang diadun dengan pelbagai ramuan tulen terpilih sudah tentu tidak menghampakan. Harga pula usah dibimbangkan, hanya RM30 hingga RM50 untuk hidangan sekeluarga.

Menurut seorang peniaga, Nan Ajijul, 27, Pasar Tanjung Api sememangnya menjadi pilihan pengunjung yang bertandang ke Kuantan.


"PEMANDANGAN bot mudik pada waktu petang di Sungai Kuantan sungguh mendamaikan."


"Rugi kalau tak rasa makanan laut segar di sini. Isi ikan, udang atau ketam masih segar, rasanya pula manis. Boleh kempunan kalau tak cuba," katanya.

Sambil makan, lihatlah pemandangan bot-bot nelayan yang mudik di Sungai Kuantan dan berlabuh di jeti berdekatan Pasar Tanjung Api.

Sesudah penuhi selera, rugi pula kalau tidak bersiar-siar di Gelora Park yang hanya satu kilometer dari Tanjung Api.

Kepada mereka yang rindukan pemandangan indah dan udara nyaman, Gelora Park menjanjikan pesona.

Bunyi angin yang membelai pepohon rhu membuatkan minda berasa lebih segar apatah lagi taman ini berhadapan dengan laut yang sentiasa menghembus bayu segar.

Tidak hairanlah jika ia sentiasa dikunjungi pelawat yang mendambakan keindahannya.


"SAJIAN makanan laut segar-segar di sini."


Para pengunjung bukan sekadar mengambil angin, malah ada yang datang untuk bersenam dan berjoging.

Di tengah taman ini pula terdapat dua buah tasik buatan yang sangat cantik lagi mengasyikkan iaitu Tasik Teratai dan Tasik Gelora. Airnya berwarna hijau.

Teruja dengan keindahannya? Cubalah mengayuh bot-sikal mengelilingi tasik. Sambil itu, bermainlah dengan ikan-ikan yang timbul di permukaan air.

Sesudah penat beriadah dan makan angin di sini, singgah sebentar di warung nasi minyak Haji Yasir dan warung nasi dagang Taman Gelora yang sangat popular. Tetapi jangan lambat, hanya dibuka sehingga pukul 12 tengah hari sahaja.

Ringkas cerita, kalau bertamu di Kuantan, jangan lupa Tanjung Api dalam senarai wajib lawat.

Friday, September 12, 2008

Sajian universal


SEORANG pekerja di Restoran Hakimi menebar roti canai.


MUNGKINKAH ada dalam kalangan kita di negara ini yang tidak suka makan roti canai. Kepada seorang kenalan, saya bertanyakan soalan itu. Jawapan yang diperoleh sememangnya tipikal iaitu: “Rasanya, tak ada orang yang tak suka makan roti canai.”

Malah, sajian yang menjadi pilihan sarapan pagi ini seakan sudah termaktub dalam kamus selera masyarakat Malaysia.

Sebagai sajian utama mahupun sekadar penggalas perut, ‘roti terbang’ gelaran yang diberi kepada roti canai ini, boleh didapati di mana-mana dan pada sebarang masa.

Murah, mudah tetapi mengenyangkan. Sekeping roti canai sedap dihidangkan dengan kuah kari ayam, ikan ataupun dhal.

Menggunakan tepung, minyak dan gula sebagai ramuan utamanya selain telur, mentega, air dan garam secukup rasa, proses pembuatan roti kegemaran ramai ini mungkin kelihatan tidak terlalu sukar.

Seorang pembuat roti canai yang ditemui KOSMO!, Ajmeer Khan, 20, berkata, proses adunan bahan mentah daripada sukatan yang betul adalah langkah utama untuk mendapatkan roti canai berkualiti.

Menurut Ajmeer yang merupakan salah seorang daripada tujuh pembuat roti canai di sebuah restoran mamak, Restoran Hakim Sdn. Bhd., adunan bahan-bahan mentah akan dibuat dalam bekas yang betul-betul bersih.

Kebersihan menjadi keutamaan kerana sedikit kesilapan kecil sahaja mampu merosakkan kualiti dan rasa roti canai.

Sambil tangannya ligat melambung dan menebar roti canai, Ajmeer memberitahu: “Kebiasaannya, adunan roti canai dibuat seawal pukul lima pagi. Pada waktu kemuncak, ada ketikanya, adunan akan dibuat dua kali sehari.”

Adunan yang dibuat sendiri, katanya menjanjikan roti canai yang lebih enak berbanding adunan sedia ada yang dijual di pasaran.

Bagi menghasilkan kira-kira 500 keping roti canai, berapa banyakkah bahan yang diperlukan? Ini jawapannya: “Lima sukatan air, seguni tepung gandum, dua tin susu pekat, enam biji telur, suku kilogram (kg) gula dan garam secukup rasa. Sebanyak 17kg minyak masak diperlukan untuk menggoreng roti di atas kuali leper.”

Mula mempelajari teknik pembuatan roti canai daripada ayahnya di India Selatan sejak di bangku sekolah, Ajmeer mendedahkan, susu dicampur bagi mengilatkan roti, gula untuk menggaringkan tekstur sajian ini dan garam yang ditambah akan mengelakkan roti terkoyak apabila ditebar.

Menurutnya, adunan yang siap akan dibiarkan ‘berehat’ seketika selama 15 minit. Selepas itu, mentega akan disapu pada bekas dan doh yang dibentuk untuk mencegah doh daripada saling melekat.

“Kemudian, kena tunggu sekurang-kurangnya tiga jam sebelum doh sedia ditebar. Ini kerana tempoh masa itu akan melembutkan doh sekali gus melancarkan proses menebar. Ketika menebar, elakkan daripada menebar doh terlalu lama,” katanya.

Tambahnya, minyak kemudiannya diletakkan di atas permukaan meja bagi melicinkan proses tebaran roti canai.

“Selepas itu, ‘rehatkan’ hasil tebaran selama dua hingga tiga minit untuk roti canai bulat sebelum dimasak. Roti berbentuk segi empat pula boleh dimasak terus. Memang itu tip untuk mendapatkan roti canai yang enak, selain menepuk ketika roti sudah siap. Tepukan akan melembutkan tekstur roti,” terangnya.

Sementara itu, pemilik restoran tersebut, Hakimsa Abdul Karim berkata, populariti roti canai tidak akan hilang sampai bila-bila.


HAKIMSA ABDUL KARIM


Ini jelas dilihat dengan mata penulis dan jurugambar sendiri apabila pembuat roti canai tidak henti menebarkan adunan yang telah diuli.

Cuma, dalam kemelut kekurangan bekalan minyak dan tepung yang pernah menggemparkan kita baru-baru ini, Hakimsa mengaku, ia sedikit sebanyak memberi impak kepada perniagaan roti canainya.

“Namun, setiap hari, jualan roti canai laris sehingga 1,000 keping. Pada hari kemuncak, kami terpaksa menambah stok (roti canai) ekoran permintaan ramai.

“Apabila krisis kekurangan bekalan bahan mentah seperti minyak dan tepung berlaku, ia menyukarkan kami untuk berniaga,” ceritanya ketika ditemui KOSMO! di restorannya di Shah Alam, Selangor.

Hakimsa memberitahu, kemahiran seseorang pembuat roti canai amat penting kerana ini akan menentukan konsistensi kualiti roti canai yang dihasilkan.

“Roti canai yang ideal adalah empuk di dalam tetapi garing dan berkelupas di luar,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Hakimsa berpendapat, roti canai yang merupakan makanan tradisional ini biasanya mendapat tempat di hati penggemar-penggemarnya yang terdiri daripada semua lapisan masyarakat.

Bagi Hakimsa, roti canai adalah makanan universal. Sebabnya, ‘kemurahan’ roti canai yang boleh dinikmati oleh sesiapa sahaja sekali gus menyamakan kedudukan orang berlainan latar belakang.

“Roti canai hanya berharga 80 sen sekeping. Sesiapa sahaja berpeluang menikmatinya. Tak payah bayar mahal, sekeping sudah cukup mengenyangkan,” jelasnya sambil memberitahu restorannya menawarkan 29 jenis roti canai beraneka rasa.

Murah dan mudah didapati

APABILA teringat roti canai yang dicicah dengan kuah kari mahupun dhal, tentu tidak sabar untuk menikmati sajian itu.




Dalam segenap lapisan masyarakat kita, roti canai adalah sarapan terpantas yang cukup mengenyangkan. Bagi penggemar sajian ini pula, selain menjadi medium mengeratkan jurang perbezaan sesama dua insan, ia turut membekalkan tenaga mencukupi untuk kerja seharian.

Seorang penggemar roti canai yang ditemui KOSMO!, Afuad Izlani Nordin, 23, berkata, setiap hari, dia akan menikmati roti canai sebanyak dua kali.

Menurutnya, bekalan tenaga yang diperoleh daripada roti canai menyamai sepinggan nasi dan boleh didapati pada harga yang lebih menjimatkan.

“Makan roti canai sudah menjadi satu perkara biasa bagi saya yang menikmatinya hampir setiap hari,” katanya sambil memasukkan secebis roti canai ke dalam mulut.

Turut sependapat dengan Afuad adalah Mohd. Azreev Azvee, 24, yang pernah mengunjungi restoran mamak empat kali dalam seminggu semata-mata untuk menikmati roti canai.

“Suatu ketika dahulu, saya pernah obses dengan roti canai. Kurang daripada RM2 sahaja, saya sudah boleh menikmati dua keping roti canai yang menyelerakan,” katanya.

Tidak keterlaluan katanya, roti canai juga menyamai ‘kawan baik’ pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi kerana harganya yang murah dan mudah didapati.

Pelajar tahun dua jurusan Pengurusan Pembinaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Hafiz Hanifa, 22, pula, menyukai keempukan roti canai.

Gemar menikmati roti canai sebagai sarapan pagi, Hafiz yakin roti canai tidak akan lenyap di dunia.

“Semua orang menggemarinya, lebih-lebih lagi pelajar seperti saya kerana boleh jimatkan bajet,” katanya tersenyum simpul.

Roti canai tinggi kalori

KETUA Pakar Diet dari Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur, Farah Diba Khan yang dihubungi KOSMO! berkata, pengambilan roti canai secara berlebihan akan meningkatkan tahap trigliserid dan berat badan dalam jangka masa panjang.


ROTI canai yang sudah masak ditepuk supaya roti menjadi lembut dan lebih sedap untuk dimakan.


Menurutnya, roti canai bukanlah satu-satunya makanan yang diambil dalam sehari dan trigliserid merupakan sejenis lemak yang disimpan di dalam badan.

“Sekeping roti canai menyumbangkan kira-kira 301 kilo kalori kerana kandungan lemak dan karbohidratnya tinggi. Jadi, mengambil roti canai setiap hari adalah tidak digalakkan,” katanya.

Bayangkan berapa banyak kilo kalori yang dikumpul sehari jika didarabkan dengan jumlah roti canai yang diambil itu!

Menurutnya lagi, pengambilan roti canai sebenarnya bukan satu keperluan dalam diet harian masyarakat Malaysia. Ini kerana katanya, terdapat pelbagai makanan berkarbohidrat lain yang lebih baik dan berkhasiat berbanding roti canai.

Justeru, Farah Diba menyarankan roti canai dinikmati sekali sekala atau sebulan sekali tetapi bukan untuk menggantikan makanan ruji kita, nasi.

“Nasi masih merupakan makanan ruji kita. Nasi kosong mengandungi kalori dan kandungan lemak yang lebih rendah. Jadi, berilah ruang kepada tubuh untuk menikmati makanan lain yang lebih berkhasiat,”ujarnya.

Katanya, melainkan kita boleh menghasilkan roti canai tanpa lemak dan minyak serta menggunakan tepung tinggi serat, adalah tidak digalakkan untuk menggantikan nasi dengan roti canai.

“Namun, sesetengah jenis nasi juga mengandungi karbohidrat yang tinggi dan adalah baik, nasi juga diambil secara sederhana,” pesannya berkali-kali.

Thursday, September 11, 2008

Lebih 150 menu

Anda pemakan sayur dan mencari restoran yang menyediakan sajian untuk selera anda? Singgahlah ke Restoran Cafe de Sky Garden, di Taman Petaling Utama.




BUKAN mudah mencari kepelbagaian juadah pemakan sayur. Kebanyakan restoran baik Cina atau India menyediakan resipi yang hampir sama. Dari nasi goreng hinggalah sayur masak kicap, soya masak sambal dan campuran buah-buahan, pemakan sayur sukar mencari tempat makan yang menyediakan menu seperti burger, spageti, piza, sosej dan sup bercita rasa sayur.

Begitupun, kekangan ini semakin disedari ramai dan kini banyak pengusaha restoran menyediakan makanan pemakan sayur yang sihat dan lazat. Restoran Cafe de Sky Garden merupakan antara peneraju dalam penyediaan makanan bersayur yang terkemuka. Meskipun baru beroperasi sejak lima tahun yang lalu di Taman Petaling Utama, Petaling Jaya, namun kewujudan restoran ini semakin popular.

Dibuka setiap hari dari pukul 11 pagi hingga 9 malam, menurut pengurus restoran, May Khoo Teng Mee, restoran ini menyasarkan pelanggan muda yang menggemari pemilihan dan penukaran menu dari masakan ala Asia hinggalah dari Barat.

Lebih 150 masakan disenaraikan dalam menu dan ini tidak termasuk keunikan bancuhan air minuman yang terdiri daripada perasa vanila, strawberi, coklat, pudina, keladi dan lain-lain.

Berdasarkan kepada bilangan pengunjung, makanan disediakan dalam kuantiti yang besar atau ditempah untuk sajian seorang individu. Bagi sekumpulan lima orang, anda boleh membuat tempahan kurang daripada RM100 dengan memilih sama ada Special set, Greeting set, Prosperity atau Destiny set. Hanya Forever Long berharga RM128.

Untuk 10 orang, sajian yang sama boleh dipesan dalam lingkungan harga RM188 kecuali Forever Long yang dijual pada harga RM248.


LOY KAM HOONG


Dapur Restoran Cafe de Sky Garden diketuai oleh Chef Loy Kam Hoong yang sebelum ini berkhidmat di Tian Yian Cafe & Restaurant, sebuah lagi cawangan yang dikendalikan di bawah pengurusan yang sama. Dengan kekuatan 10 pembantu masak yang lain, Chef Loy memastikan makanan yang dihidangkan panas kecuali juadah Barat.

“Dari stail Itali, Thailand dan Asia semuanya disediakan dan turut tidak ketinggalan manisan seperti kek, puding, ais krim dan buah-buahan,” katanya yang mempersembahkan salah satu masakan kekuatannya iaitu Parisian Romance.

Disajikan dalam kuantiti yang cukup untuk seorang, Parisian Romance mempunyai empat hidangan utama iaitu sup hari ini, filet Parisian puding Fruitti dan jus oren. Berharga RM25, filet ikan yang diselaputi dengan rumpai laut ini cukup enak dan dimasak pada kawalan api yang secukup.

Siamese Warmer yang merupakan salah satu daripada set Warmer, dipersembahkan seakan-akan seperti stimbot dengan api kecil yang memanaskan lauk kari. Rasa masam dan pedas merangsang deria rasa di samping menikmati cendawan, udang soya, ikan soya dan sayur-sayuran yang dimasak sekali gus. Variasi herba Thailand yang dimasukkan juga mengeluarkan haruman yang menusuk hidung. Set ini cuma RM9.80 dan nasi disertakan untuk melengkapi juadah waktu petang.

Burger yang dijual di Restoran Cafe de Sky Garden bersaiz besar dan boleh dipotong ke empat bahagian, mengikut kehendak pelanggan. “Roti burger di sini sangat lembut dan tidak ada di tempat lain. Malah, setiap makanan bersoya yang dibeli, diperam dan dicampur dengan bahan-bahan asas supaya ia menaikkan lagi rasa sedap,” ujar Chef Loy.

Pencuci mulutnya terdiri daripada aiskrim dan kek tetapi kek yang dihasilkan di sini bukan sebarangan. Kek German Mousse Cheese cukup istimewa kerana ia lembut dan keju yang digunakan dalam amaun yang sikit. Berbanding Supreme Choc Cheese, kek ini sarat dengan keju tetapi masih mampu menghabiskan sepotong kek.

Sajian halal kerana tiada sajian berasaskan daging atau makanan laut, kebanyakan Restoran Cafe de Sky Garden juga tidak menjual minuman keras dan pengunjung dilarang merokok.




Tuesday, September 9, 2008

Istimewa 3 Dalam 1


PELBAGAI makanan laut yang segar dan pelbagai disediakan.


Menyusuri jambatan kayu di atas kolam ikan begitu simbolik kerana ia menunjukkan setiap langkah yang diatur akan membawa anda masuk ke dalam sebuah restoran. Tidak cukup itu, pemandangan restoran yang menghadap kolam renang bakal memberi ketenangan ketika menjamu selera.

Restoran Terminal Seafood di Kelab Ukay, Taman Ukay, Ampang, merupakan antara restoran makanan laut yang mendapat sambutan pengunjung tempatan dan luar negara. Ini membuatkan restoran itu bakal membuka beberapa cawangan di seluruh negara pada tahun ini.

Pengasas Restoran Terminal Seafood, Noraini Hayati Ismail, berkata, beliau dan suaminya, Ahmad Abdullah, mengambil keputusan membuka restoran itu kerana mereka begitu menggemari makanan laut.

Setiap kali mereka pergi menjamu selera ke restoran makanan laut yang lain, pasangan ini biasanya kurang berpuas hati kerana kebanyakan restoran tidak menawarkan hidupan laut yang pelbagai dan banyak.

“Kadang-kala berasa kecewa kerana sebaik sahaja melangkah ke dalam restoran makanan laut, pasti kami tidak mempunyai pilihan ikan, udang atau ketam yang beraneka jenis.

“Mengambil kira faktor tersebut dan mendapati kaum bumiputera masih kurang membuka restoran makanan laut, kami sepakat melahirkan Restoran Terminal Seafood ini,” katanya yang sibuk melayan pelanggan yang terdiri daripada pelbagai bangsa.

Singgah ke restoran ini ternyata tidak sia-sia. Ini kerana urusan menikmati makanan laut cukup mudah. Sebaik sahaja melangkah kaki ke dalam restoran, pelayan yang sedia menanti akan membawa anda ke ruang makan yang boleh menempatkan lapan orang untuk sebuah meja.

Kemudian, petugas restoran akan meletakkan bekas masakan 3 dalam 1 yang terdiri daripada tiga lapisan di tengah meja.

Lapisan atas dikhaskan untuk mengukus manakala lapisan kedua adalah untuk merebus stimbot.

“Kami menawarkan dua jenis kuah stimbot iaitu tom yam dan sup ayam,” jelas Noraini.

Sementara itu, lapisan bawah yang berbentuk leper pula, memudahkan pelanggan membakar makanan laut seperti ketam, udang, sotong, daging kambing dan kepak ayam. Kesemua hasil laut ini telah disalut dan digaul dengan kuah barbeku yang diperbuat daripada resipi keluarga Noraini secara turun temurun.

Keistimewaan sos barbeku Noraini bukan sahaja dikenali dan popular dalam kalangan warga tempatan, malah ia turut diminati oleh warga Jepun, Eropah, Korea dan Bahrain dari sekitar Kuala Lumpur.

“Sos barbeku ini mula dikenali masyarakat luar selepas mereka menikmati makanan di sini.

Kepada pengunjung yang menggemari hidangan kukus, anda boleh memilih makanan laut bersama kuah Alahai, halia bawang putih, asam pedas atau lemak hijau.

Penulis berkesempatan mencuba ikan bawal kukus kuah Alahai. Rasanya yang pedas, berherba dan masam manis membuatkan hidangan kukus ini begitu menyelerakan.


Ketam bakar dan Bawal kukus sos Alahai.


Terdapat 15 jenis ikan, antaranya siakap, bawal putih, bawal hitam, senangin, kurau, jenahak dan kembung; tiga jenis ketam (biru, merah dan hijau) dan lapan jenis udang (udang ekor biru dan udang harimau) sedia menanti pengunjung di restoran ini.

Bagi anda yang sedang mencari lokasi yang luas untuk mengadakan parti dan majlis, Restoran Terminal Seafood paling sesuai kerana ia mampu menampung seramai 200 pengunjung dalam satu masa.

Anda juga berpeluang memilih sama ada menjamu selera di dalam restoran atau di luar sambil menghirup udara segar.

Selain menawarkan makanan laut, pelanggan juga disediakan hidangan bergoreng dan pelbagai jenis puding.


SAYURAN segar untuk hidangan stimbot.


Lokasi:

Restoran Terminal Seafood

Kelab Ukay

Jalan Taman Ukay

68000 Ampang

Hubungi:

03-41472300

Waktu operasi:

12 tengah hari (bufet tengah hari perlu ditempah terlebih dahulu).

5 petang hingga 12 malam

Harga:

RM43++ (dewasa)

RM22++ (kanak-kanak 7 hingga 12 tahun)

percuma (kanak-kanak 6 tahun ke bawah)

Friday, September 5, 2008

Kombo Citarasa Ramadan A&W


JIKA sebelum ini, hidangan ala bufet di hotel-hotel sering menjadi pilihan untuk berbuka puasa, apa kata anda cuba aturkan langkah ke restoran makanan segera A&W untuk menikmati resipi terbaru sempena Ramadan.

Kombo Cita Rasa Ramadan A&W menawarkan hidangan utama iaitu nasi putih bersama gulai daging salai serta salad dan buah kurma sebagai pembuka hidangan. Selain itu, ia dilengkapkan dengan air minuman Root Beer yang sering menjadi kemestian bagi setiap pelanggan A&W.

Resipi gulai daging salai ini dipilih kerana ia menekankan ciri masakan Melayu terutamanya masak lemak kuning yang terkenal di Negeri Sembilan yang pasti membuka selera. Ia menggunakan daging segar dan rempah terpilih bagi menjamin kualiti masakan tersebut.

Jika telah selesai menikmati sajian ini dan perut masih mampu diisi, jangan ketinggalan merasai keenakan sate ayam yang dipanggang enak dengan kuah istimewa dan kentang goreng.

Tidak seperti yang lain, sate ayam A&W dibuat 100 peratus daripada daging ayam tanpa lemak dan dibakar sederhana bagi mengekalkan rasanya.

Menurut Pengurus Serantau A&W Malaysia, Anuar Osman, kedua-dua resipi ini disediakan semata-mata untuk menarik minat orang ramai agar berbuka puasa di restoran makanan segera tersebut.

"Kami sedia maklum. kebanyakan orang mahukan nasi sebagai juadah berbuka. Jadi, Kombo Cita Rasa Ramadan A&W ini akan memenuhi selera pengunjung.

"Saya percaya, selain mengenyangkan, hidangan ini pasti mampu menambat hati pelanggan," kata Anuar ketika ditemui sewaktu pelancaran menu itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menu ini juga boleh didapati untuk mereka yang mahu bersahur di rangkaian restoran A&W yang beroperasi 24 jam di seluruh negara.

Untuk Kombo Cita Rasa Ramadan, ia dijual pada harga RM7.50 setiap set. Jika anda menambah hidangan sate dan kentang goreng, anda hanya perlu membayar RM4.70 berbanding harga asalnya RM5.30 setiap set. Set sate juga boleh dibeli secara berasingan.

Sehingga kini, terdapat 31 rangkaian restoran A&W di seluruh negara. Antara menu terkenal dan sering menjadi pilihan di restoran ini ialah Coney Dog, Double Deluxe Burger With Cheese, Mozza Burger dan Fish Sandwich.